Baby/child car seat: Menghadap depan atau belakang? Mana lebih selamat?

memilih baby / child car seat
(foto: babyology.com.au)

Dalam entry sebelum ini (Sesuaikah baby/child car seat anda?), saya ada menyatakan yang rear-facing car seat adalah yang terbaik untuk bayi dan kanak-kanak. Walaupun anda dinasihatkan untuk menggunakan rear-facing car seat sehingga anak berumur 2 tahun, ia cuma umur minimum yang disarankan. Sebenarnya, lebih lama anda meletakkan posisi anak anda menghadap ke belakang adalah lebih baik.

Di Sweden, sejak 1960-an lagi, kanak-kanak telah mula diletakkan mengadap ke belakang ketika di dalam kenderaan sehingga mereka berumur sekitar 4 tahun. Percaya atau tidak, kini Sweden adalah negara yang menyaksikan kadar kematian dan kecederaan serius kanak-kanak akibat kemalangan jalan raya yang amat rendah - iaitu menghampiri sifar! Antara faktor yang dipercayai menyumbangkan kepada angka ini adalah kedudukan kanak-kanak di dalam kereta.


Kenapa lebih baik mengadap ke belakang?

Kajian telah menunjukkan kedudukan kanak-kanak mengadap ke belakang di dalam kereta adalah lima kali atau 500% lebih selamat daripada mengadap ke hadapan. Terdapat dua faktor penting yang menyebabkan kedudukan ini lebih selamat iaitu:

1. Struktur tulang kanak-kanak yang belum matang

child car seat
Perbezaan tulang belakang pada
umur setahun dan 6 tahun (foto: windsorpeak.com)
Kanak-kanak berumur bawah 6 tahun mempunyai struktur tulang yang belum matang. Saraf tunjang manusia dilindungi oleh tulang belakang. Walaupun begitu, tidak seperti orang dewasa, tulang belakang bayi dan kanak-kanak disambung oleh cartilage atau rawan. Bahagian cartilage yang menyambungkan tulang ini dipanggil synchondroses. Ia menjadikan tulang belakang mereka lebih fleksibel dan membolehkannya meregang sehinnga 2 inci. Namun, regangan sebanyak 1/4 inci sahaja sudah cukup untuk mencederakan saraf tunjang dan menyebabkan lumpuh atau kematian.

Rajah di sebelah kanan menunjukkan perbezaan tulang belakang kanak-kanak pada usia setahun (kiri) dan 6 tahun (kanan). Perhatikan synchondroses (bahagian kosong antara tulang di bahagian tepi dan hadapan) yang belum digantikan dengan tulang yang matang. Bahagian kosong berbentuk bulat di tengah-tengah tulang belakang adalah laluan saraf tunjang.


2. Kepala yang besar berbanding berat badan

child car seat
Rajah kiri menunjukkan pergerakan
yang mengakibatkan whiplash injury (foto: cpsafety.com)
Apabila kemalangan berlaku, semua penumpang akan tercampak ke hadapan. Dalam keadaan mengadap ke hadapan dan memakai tali pinggang keledar atau harness, pergerakan badan akan dihentikan oleh tali pinggang atau harness tersebut. Namun, kepala tidak dihentikan, malah terus tercampak ke hadapan hingga dagu menyentuh dada, sebelum tertarik semula ke belakang. Kecederaan hasil pergerakan ini dipanggil whiplash injury.

Secara umumnya, 25% daripada jumlah berat badan bayi terletak di bahagian kepala berbanding hanya 6% bagi orang dewasa. Ini menjadikan tekanan (force) yang menarik kepala bayi ke hadapan di dalam kemalangan adalah empat kali lebih daripada orang dewasa. Ditambah pula dengan struktur tulang yang tidak matang dan fleksibel, sudah tentu bayi dan kanak-kanak jauh lebih berisiko untuk mendapat kecederaan serius atau maut berbanding orang dewasa.

child car seat
Perbezaan kepala bayi berbanding orang dewasa (foto: carseat.se)


Bagaimana kedudukan mengadap ke belakang melindungi bayi dan kanak-kanak?

Jika kemalangan berlaku, bayi dan kanak-kanak yang diletakkan mengadap ke belakang akan bergerak ke arah car seat mereka. Ini membolehkan car seat tersebut menyerap tekanan hasil hentakan dari badan kanak-kanak tersebut secara sekata. Kedudukan seperti ini juga akan menyebabkan kepala, leher dan badan kanak-kanak tersebut bergerak serentak di dalam satu garisan, sekaligus mengelakkan whiplash injury daripada berlaku.

Video di bawah menunjukkan perbezaan antara baby/child car seat mengadap ke hadapan dan mengadap ke belakang





1. Narayan Yoganandan, PhD, Frank A. Pintar, PhD, and Sean M. Lew, MD.  Ann Adv Automot Med. 2011 October; 55: 159–168
2. Brockmeyer, Doug MD, Pediatric Spinal Cord and Spinal Column Trauma
3. PEDIATRICS Vol. 121 No. 3 March 1, 2008 pp. 619 -620
4. BMJ, Injury Prevention, 2007, Vol. 13, Issue 6, Car safety seats for children: rear facing for best protection
5. Review of Child Car Occupant Fatalities in Sweden during Six Decades, IRCOBI COnference 2013

 
Related:


Jika anda sedang mencari baby/child car seat, anda boleh melihat pilihan car seat yang pelbagai di motherhood.com.mysebuah kedai online Malaysia yang menjual pelbagai barangan keperluan ibu dan bayi yang berkualiti dan dipercayai. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan